Konsep mengurus harta pusaka sebenarnya ada persamaan dengan mengurus harta semasa hidup. Harta yang sama yang kita ada semasa di dunia itulah juga harta yang akan berubah status menjadi harta pusaka di saat kita meninggalkan dunia ini. Perubahan status harta kepada pusaka tersebut merubah tahap penguasaan dan pemilikan kita terhadap harta yang dimiliki.
Semasa hidup, harta itu milik kita, dan kita bebas berbuat apa sahaja terhadapnya seperti berjual beli atau memberikannya kepada orang lain. Ini berbeza dengan harta pusaka yang secara ‘default’ dimiliki oleh waris yang berhak. Sekiranya kita tidak berbuat sebarang perancangan pusaka, harta tersebut akan dibahagikan kepada waris berdasarkan pembahagian yang telah ditentukan oleh hukum Faraid.
Perancangan pusaka bukanlah menidakkan Faraid, tetapi ia memberi ruang untuk kita merancang kepada siapa kita hendak berikan harta yang dikumpulkan secara penat lelah semasa hidup. Selain itu, sebab lanjut mengapa perlunya kita merancang pusaka adalah seperti berikut:
.
SEBAB #1: MANFAATKAN HARTA DI DUNIA DAN AKHIRAT
Kumpul harta kerja yang susah. Sebab tu, kita nak dapatkan manfaat daripada harta itu selama yang mungkin. Kalau di dunia dengan harta kita dapat makan yang sedap, tak mahu ke dengan harta itu juga kita dapat pahala untuk dapat makan di syurga?
.
SEBAB #2: PUSAKA PERLU DIURUS
Sepertimana semasa hidup kita buat perancangan kewangan untuk elakkan kebocoran wang, begitu juga dengan perancangan pusaka untuk uruskan ‘harta kita’. Rugi kalau harta itu dibiarkan beku saja kan?
.
SEBAB #3: TENTUKAN KEPADA SIAPA NAK BERI PUSAKA
Semasa hidup, harta itu milik kita. Terpulang nak gunakan macam mana, dan nak beri kepada sesiapa pun. Kita boleh berbuat yang serupa untuk harta pusaka dengan merancang.
SEBAB #4: MASYARAKAT HANYA AMBIL HAK FARAID, TAPI TIDAK PIKUL TANGGUNGJAWAB
Harta pusaka dibahagi mengikut ‘faraid’ jika tiada hibah ataupun wasiat dibuat. Banyak atau sedikit hak seseorang dapat menurut faraid sebenarnya bersamaan dengan tanggungjawab yang dipindahkan ke bahu mereka untuk menjaga waris arwah. Tapi tak ramai yang faham dan buat. Yang mereka nampak hanyalah menuntut hak pusaka.
SEBAB #5: PROSEDUR TUNTUTAN PUSAKA MENJADI LEBIH KOMPLEKS DAN LAMA
Jika tak merancang, prosedur untuk pembahagian pusaka akan menjadi lebih kompleks dan mengambil masa lebih lama. Contoh termudah ialah penama KWSP. Jika ada letak penama, penama tersebut boleh terus ke KWSP. Jika tiada penama, perlu dapatkan Surat Kuasa dahulu baru boleh ke KWSP. Jauh lebih rumit.
.
SEBAB #6: LANTIK WAKIL UNTUK URUSKAN PUSAKA
Jika merancang lebih awal, kita boleh melantik ‘orang’ lain untuk uruskan kerja yang renyah dan memakan masa untuk mendapatkan Surat Kuasa. Antara sebab harta beku ialah waris tak mampu nak selesaikan urusan tuntutan sebegini.
.
SEBAB #7: LANTIK ORANG TENGAH UNTUK MEDIASI PERBINCANGAN WARIS BERTELAGAH
Dalam keadaan waris bertelagah berebut harta, amatlah berguna apabila ada orang tengah yang tidak berkepentingan membantu mediasi perbincangan. Kalau dah merancang, boleh lantik siap-siap untuk membantu. Bila bertelagah, kita tak tahu bila ia akan selesai. Makin lama masa berjalan, mungkin ada waris yang meninggal. Bahagian waris tersebut berpindah kepada warisnya pula. Makin kompleks.
Ada pelbagai sebab lagi yang tidak dinyatakan selain daripada #7 sebab ini. Harapnya ia dapat membuka mata ramai orang untuk merancang harta pusaka, biarpun harta yang ditinggalkan tidak sebanyak mana.
Recent Comments