Merancang harta pusaka bukanlah amalan biasa dilakukan di negara kita. Kesedaran umumnya masih di tahap rendah dan agak menyedihkan. Setiap tahun jumlah harta beku yang dilaporkan sentiasa meningkat. Kesannya bukan hanya kepada keluarga terbabit, malah kepada ekonomi negara juga kerana harta tersebut tidak dapat dimanfaatkan.

Antara perkara yang membantutkan perbincangan mengenai harta pusaka ialah kerana taboo masyarakat, kerana membincangkan harta pusaka seringkali dikaitkan dengan..

I) KEMATIAN

Pusaka adalah perancangan dan persediaan sebelum kita meninggalkan dunia. Walaupun mati itu pasti, tapi majoriti kita masih belum bersedia untuk menghadapi mati. Mungkin dari pandangan sesetengah orang, berbincang tentang pusaka itu umpama kita ‘menjemput’ kematian datang. Itu satu mistik yang seharusnya dielakkan.

II) TAMAK HARTA

Seseorang waris yang mengajak ibu bapanya berbincang tentang pusaka mungkin disalah anggap tidak sabar dan tamak hendak mendapatkan harta keluarga yang banyak. Paling dikesalkan jika keluarganya menganggapnya lebih mementingkan harta berbanding talian kekeluargaan.

Disebabkan kekangan itu, maka perancangan harta pusaka kurang dibincangkan secara meluas. Apabila topik ini disentuh, ia seringkali gagal menarik perhatian ramai walaupun ramai yang tahu kepentingannya terutama mengenai berbilion harta beku akibat tiadanya perancangan.

 

OBJEKTIF PERANCANGAN PUSAKA

Dokumen perancangan pusaka utama ialah Hibah dan Wasiat. Oleh kerana kurang mengambil tahu, ramai yang tidak tahu tentang Hibah dan menganggap Wasiat adalah instrumen yang seharusnya digunakan untuk membahagikan pusaka secara efisien.

Itu sebenarnya adalah tanggapan yang silap yang harus diperbetulkan.

Fungsi Wasiat telah disebut dengan jelas di dalam Quran, iaitu untuk memperuntukkan harta pusaka kepada BUKAN WARIS. Bahagian yang boleh diwasiatkan terhad kepada 1/3 jumlah harta sahaja. Selebihnya iaitu 2/3 lagi akan dibahagikan mengikut pecahan yang telah ditentukan menurut Faraid.

Oleh yang sedemikian, sekiranya kita hanya menulis Wasiat, bermakna kita hanya merancang pusaka untuk bukan waris sahaja. Tiada perancangan yang dibuat untuk Waris melainkan yang telah ditentukan Faraid.

Cuba fikir semula… Adakah ini memenuhi objektif perancangan pusaka yang dibuat?

Objektif kita merancang adalah untuk memastikan harta pusaka yang ditinggalkan dapat memenuhi keperluan waris dan orang yang disayangi. Islam itu bersifat adil. Yang tidak adilnya ialah mereka yang hanya menuntut hak Faraid tetapi tidak menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan waris.

Disebabkan itu Islam membenarkan Hibah dibuat bagi kita merancang pembahagian harta mengikut formula sendiri. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan tiada had. Berbeza dengan Wasiat yang hanya terhad 1/3 kepada bukan waris sahaja.

Tetapi perlu dipastikan bahawa tujuan Hibah dibuat ialah atas dasar kasih sayang, bukan untuk menidakkan Faraid. Tujuannya adalah untuk memastikan waris dapat meneruskan kehidupan dengan baik di samping mengekalkan keharmonian juga dengan bukan waris.

 

Kesimpulannya, sekiranya ingin memastikan hasrat pusaka kita tercapai, pastikan Hibah dan Wasiat digunakan sebaiknya menurut fungsi yang dan limitasi yang telah ditetapkan oleh syariat.